PERUTUSAN HARI GURU 2012
KETUA PENGARAH PELAJARAN
MALAYSIA
“GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI
PENDIDIKAN NEGARA”
Assalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan murid-murid yang
dikasihi sekalian,
1. Semenjak tahun 1972, peranan dan fungsi guru telah
diiktiraf begitu signifikan dan diabadikan menerusi ungkapan tema Hari
Guru yang diraikan pada 16 Mei setiap tahun. Guru dipandang tinggi sebagai
pemangkin pembangunan negara, pembentuk generasi dan menjadi asas kemajuan
pendidikan negara di samping memacu kejayaan rakyat. Guru yang melengkapi diri
dengan kualiti dan Standard Guru Malaysia diakui mampu menjamin keberhasilan negara,
antaranya guru yang inovatif dan kreatif teras kejayaan wawasan, guru berkesan
pendidikan cemerlang, guru berkualiti pemangkin kegemilangan dan guru cemerlang
negara terbilang.
2. Pada tahun ini, tema “Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara” telah dipilih sebagai galakan kepada guru
menyuburkan inovasi. Tema ini selaras dengan pengisytiharan oleh Yang Amat
Berhormat Perdana Menteri Malaysia bahawa tahun 2012
merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi Nasional.
Sehubungan itu, amat wajarlah bagi para pendidik mempersiap diri membudayakan
inovasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan aktiviti koakademik serta
kokurikulum di dalam dan di luar bilik darjah.
3. Sebagai golongan profesional yang menjana dan menjuarai
perubahan, kita perlu peka dan bersedia memperlengkapi diri menjadi guru yang
inovatif. Guru yang inovatif berupaya menjana idea, konsep atau strategi baru
yang boleh mempertingkat amalan berkesan dalam menyampaikan ilmu kepada
generasi anak didik. Guru yang inovatif juga berkemampuan mencipta kelainan
atau modifikasi menggunakan unsur dan sumber sedia ada serta menjelmakannya
sebagai elemen sintesis yang memudah dan melancarkan proses pengajaran dan
pembelajaran. Selain itu, seorang guru yang inovatif juga mempunyai tahap
ketekunan yana tinggi, belajar daripada kesilapan, menyusun dan mengurus idea
secara perekodan sistematik serta sentiasa cenderung mendapatkan pengetahuan
baharu. Natijah yang akan dihasilkan ialah modal insan yang berpengetahuan dan
bermaklumat serta berinovatif dalam mempermajukan teknologi, berkebolehan
mencerna dan mengadaptasikan teknologi dan seterusnya berupaya mengembangkan
idea-idea. Warga pendidik yang diraikan sekalian,
4. Kesinambungan sistem pendidikan negara dimanifestasi melalui
transformasi yang berbentuk dinamik dan progresif yang akan direalisasikan oleh
para guru yang inovatif, proaktif, berdedikasi, dan berdaya saing. Sehubungan
itu, Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan program bina upaya untuk
meningkatkan amalan profesionalisme keguruan bagi menyokong usaha melaksana
transformasi pendidikan secara keseluruhan. Objektif Pelan Pembangunan
Profesionalisme Pegawai Perkhidmatan Pendidikan secara khususnya bermatlamat
melahirkan para pendidik yang berwatak profesional, berkompeten dan
berkesanggupan memikul amanah yang lebih besar.
Warga pendidik sekelian,
5. Pelbagai ganjaran disediakan dan inisiatif direncana oleh
pihak kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.
Keprihatinan kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha, misalnya melalui
pemberian dan penganugerahan kepada warga guru seperti dalam aspek perjawatan
dan perkhidmatan. Anugerah dan beberapa penambahbaikan dalam skim perkhidmatan
guru menggambarkan keprihatinan kerajaan kita. Sesungguhnya perkara ini
diharapkan menjadi sebagai satu inspirasi dan dorongan kepada guru untuk terus
memberikan perkhidmatan yang effisyen dan cemerlang dalam dunia pendidikan yang
berkembang pesat di samping melengkapkan diri bagi menghadapi cabaran global.
6. Pihak kerajaan dan kementerian juga amat prihatin dengan
beban tugas guru yang semakin bertambah dan rencam. Sehubungan itu, bermula
pada tahun 2012, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru
(JKPMIBTG) telah memberikan tumpuan kepada lima fokus utama bagi menangani isu
beban tugas guru iaitu menambah baik pelan operasi latihan tahunan untuk
mengelakkan pertindihan kursus; menambahkan staf sokongan untuk tugas
perkeranian; mengurangkan bilangan jawatankuasa di peringkat sekolah;
mengurangkan bilangan ujian/peperiksaan dan meningkatkan penggunaan ICT dalam
pengurusan sekolah dan pengajaran dan pembelajaran.
7. Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini mewakili
semua warga pendidik di negara ini untuk menyatakan setinggi penghargaan dan ucapan
terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak kerajaan yang tidak pernah
meminggirkan kebajikan para guru. Keprihatinan berterusan oleh kerajaan ini
merupakan suntikan semangat agar warga pendidik terus gigih, inovatif,
berdedikasi dan berintegriti dalam menggalas tanggungjawab melahirkan generasi
masa depan yang berjati diri, berdaya saing, bertanggungjawab, berpegang teguh
kepada ajaran agama serta mengamalkan nilai sejagat.
Anak-anak murid yang disayangi sekelian,
8. Saya yakin bahawa tanggungjawab berat yang digalas oleh
para guru di samping tekanan yang dihadapi sedikitpun tidak melunturkan rasa
kasih dan sayang kepada anak-anak didik semua. Semua guru yang ada di hadapan
murid-murid semua adalah guru penyayang. Kehadiran murid ke sekolah tentulah
dengan harapan dan semangat untuk menimba ilmu dan mempertingkat kualiti diri.
Setiap murid di mata dan hati seorang guru adalah permata yang mempunyai
keistimewaan dan kebolehan tersendiri. Jika digilap dan dikembangkan potensinya
nescaya akhirnya mereka dapat menjadi individu dan warganegara yang berdaya
saing, berfikiran kreatif dan kritis, berbudi pekerti mulia dan sedar akan kepentingan
amalan berterima kasih. Sekiranya ada antara murid-murid yang ditegur oleh
guru, janganlah mudah berkecil hati atau merasa diri kurang disayangi.
Anggaplah para guru sebagai ibu dan bapa di sekolah yang sentiasa mengambil
berat dan menginginkan yang terbaik untuk murid-murid semua.
9. Akhir kalam, besarlah harapan saya agar warga pendidik
yang dikasihi sekalian terus melaksanakan amanah yang diberi penuh dedikasi,
bertunjangkan integriti dan berlandaskan etika perkhidmatan. Selaku pencetus,
penggerak dan pemegang amanah kepada proses transformasi sistem pendidikan negara,
warga pendidik mempunyai kedudukan tersendiri, disegani dan dipandang tinggi
oleh masyarakat. Marilah kita teruskan amalan budaya kerja cemerlang, sikap
kebertanggungjawaban, istiqamah dan semangat mujahadah setiap daripada kita
untuk melakukan yang terbaik demi nusa dan bangsa.
Sebagai penutup, ingin saya titipkan mutiara kata Syeikh
Muhammad Abduh, seorang tokoh pendidikan di Mesir, “Kemuliaan ialah membangun
umat yang telah binasa, membuka selubung kebodohan mereka, memberi peringatan
dan petunjuk (hidayah), menuntut hak yang terampas, mengingatkan akan kemuliaan
yang hilang, membangun umat dari tidur dan kelalaian mereka, serta menyatukan
suara untuk memperbaharui gerak langkah”.
WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!
DATO’ SRI ABD GHAFAR BIN MAHMUD
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Perutusan Hari Guru 2012
No comments:
Post a Comment